Sempena TNB menaikkan tarif elektrik, saya turunkan sajak "MALAM KEBAKARAN"(tersiar dlm jurnal sastera UKM). Sebuah rumah terbakar, seorang ayah mati hangus kerana terlewat membayar bill api. Sajak berdasarkan kisah benar yang berlaku di Kelang beberapa tahun yang lalu. (terima kasih kpd yg membaca)
Terima kasih Zurinah Hassan atas karya ini.
MALAM KEBAKARAN
Ayahku seorang lelaki miskin
Yang mahu anak-anaknya
Bergembira di negara kaya
Demikianlah pada suatu malam
Membawa kami ke bandaraya
ke taman bercahaya
sekadar berjalan-jalan
tidak membeli belah tidak makan-makan
namun adik-adik bersorak-sorak riang
menyanyi bersama angin
Melihat ribuan lampu
Yang bercakaran di dinding dinding
Yang berloncatan di ranting ranting
Setelah itu
Kami pulang ke rumah di suatu daerah
Yang tidak layak untuk cerah
Keggelapan menunggu di muka pintu
Tetapi mengapa gelap berterusan
Walau ayah berkali-kali menekan suiz lampu
Kami anak beranak kalut sejenak
Bila Ayah tersedar dia belum membayar
Bill letrik tertunggak
walau sudah datang amaran
semalam hari penghabisan
kata ayah bulan ini sangat suntuk
Along di universitI PTPTN belum masuk.
Ayah bercadang ke tabung haji esok
Namun sebelum sempat mengeluarkan simpanan
Mereka bertindak pantas memutuskan bekalan
Ibu menyalakan lilin
Kami tidur kepenatan beberapa jam
Sehingga terasa panas menikam.
Kami terbahak bahak asap sedang mengasak
Rupanya sebatang lilin direbahkan angin
api menyambar dinding
kami diheret keluar api semakin besar
Ayah terus meredah menyelamatkan buku sekolah
api semakin garang ibu berteriak melarang
Namun ayah masuk merempuh api
Dan ayah tidak keluar lagi
Barangkali benar aku perlu bersabar
Hidup berasbab mati bersebab
Tapi jika mereka bertanya tentang negaraku
Maka akan kujawab
Ini negara mewah kotanya terang benderang
Dari hujung petang santak ke kaki siang
Menjana kuasa membenarkan kilang kilang berhutang
Tapi cepat bertindak memotong bekalan
di sebuah pondok usang
Ini negara jutaan lampu
Yang membakar rentung ayahku
ZURINAH HASSAN.