Wednesday, April 26, 2017

Sisipan Dari Facebook

Madu tualang power! Click here

Adik Thaqif  pergi jua meski pun beberapa langkah perubatan telah diambil untuk menyelamatkan beliau.

Yang bernyawa semua akan kojol satu masa nanti. Kojol akan menjemput tak kira tua muda. Mati tetap mati.

Namun, sebab-musabab pemergian Adik Thaqif daripada apa yg kita kutip dari internet, amat, amat disesali.

Di bawah ini aku turunkan satu artikel tulisan Daniyal Kadir dikutip dari Facebook Wall, yg memberikan gambaran banyak lagi yg perlu diperbaiki di sekolah-sekolah tahfiz.

Daniyal Kadir's profile photo, Image may contain: 2 people, sunglasses and close-up
Daniyal Kadir

Selepas SPM dahulu saya pernah bertugas secara separuh masa di sebuah sekolah tahfiz di kampung berhampiran bandar tempat saya tinggal.

Tugas saya ialah mengajar subjek Bahasa Inggeris. Apa yang saya lihat pada ketika itu terdapat beberapa masalah ketara yang dihadapi sekolah berkenaan.

Pengurusan sekolah itu begitu berserabut dan tidak teratur. Kawalan disiplin terhadap pelajar juga bukan menggunakan kaedah bersesuaian sebaliknya hanya hukuman berbentuk fizikal. Penyediaan makanan, tempat tinggal dan infrastruktur sekolah ini sangat menyedihkan.

Pada ketika itu (atau saya tak pasti pada masa sekarang juga), kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang nakal dan dilihat tidak mempunyai potensi akademik ke sekolah ini. Ibu bapa ini seperti beranggapan pendidikan agama boleh memberikan ruang pembaikan diri kepada anak mereka.

Namun bagi saya, ibu bapa ini tersilap, kebanyakan institusi tahfiz di negara ini tidak diuruskan dengan betul dan kebanyakan ustaz atau ustazah yang mengajar di sekolah berkenaan juga tidak mempunyai ilmu pedagogi dan pendekatan psikologi dalam mengajar anak-anak.

Hari ini tragedi menimpa Almarhum Thaqif, melalui nota-nota ditulisnya, adik ini amat berharap menjadi seorang insan yang mampu mencapai cita-cita menghafal al-Quran, namun cita-cita ini tergendala kerana sistem pendidikan tahfiz yang berkecamuk dan tidak membina cita-cita ini.

Kaedah kawalan disiplin di institusi tahfiz sebenarnya perlu dilihat dengan telus dan teliti kerana sistem ini bergerak seperti dalam kerangka pemikiran talibanisasi dan membina satu ruang hukuman yang luas kepada guru dan menjadikan pembangunan kendiri murid berada pada tahap rendah.

Kini apabila saya pulang ke kampung dan singgah di pekan, saya ada juga terserempak dengan beberapa orang bekas anak murid tahfiz berkenaan dan jelas mereka masih mencari-cari arah hidup sebenar serta tidak mampu memecah belenggu sosial yang mengikat mereka.

Pada saya mudah, sistem pendidikan tahfiz (jika mahu terus dilaksanakan) perlu diuruskan oleh mereka yang berkelayakan dan memiliki kapasiti kewangan bagi membolehkan infrastruktur di sekolah dibina dengan baik untuk menjadi tempat pembelajaran yang kondusif.

Asrama perlu ditetapkan untuk mereka yang berusia 15 tahun ke atas sahaja dan penggajian guru perlu dibuat secara profesional.

Ini mungkin langkah permulaan yang boleh diambil untuk mengelak kanak-kanak melalui zaman gelap di waktu masa depan mereka sedang cerah.