Tuesday, February 10, 2015

Izzah: Tiada Anak Yg Sanggup Lalui Semua Ini

Madu tualang power! Click here

Kita semua datang dari sepasang ibu dan bapa. Kita semua pernah beribu dan berbapa.

Pada aku, artikel ini yg telah disiarkan di Malaysian Insider paling tepat menghuraikan situasi yg menyelubungi keluarga Anwar Ibrahim.

Hampir 17 tahun selepas pemecatan dan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, Nurul Izzah Anwar kini berdepan dengan kemungkinan ayahnya merengkok dalam penjara sekali lagi. – Gambar The Malaysian Insider, 10 Februari, 2015.

Nurul Izzah Anwar berusia 18 tahun ketika ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan didakwa dengan tuduhan liwat dan rasuah pada 1998.

Setahun selepas itu, Anwar dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah dan pada 2000 dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana dituduh meliwat.

Kini, ibu kepada dua orang anak itu sudah berusia 35 tahun dan merupakan salah seorang ahli politik berpengaruh di Malaysia, dan berdepan dengan penderitaan kemungkinan kehilangan ayahnya sekali lagi hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, tidak ada anak mahu melalui pengalaman sedemikian, apatah lagi jika keputusan Mahkamah Persekutuan esok mendapati ayahnya bersalah dan dihukum penjara lima tahun.

“Umur ayah makin lanjut dan yang menyedihkan kalau dahulu, kami melihat individu yang memayung kami terpenjara, kini, ayah yang sepatutnya kami lindungi juga mungkin dizalimi sekali lagi.

“Tiada anak yang sanggup melalui detik itu,” katanya kepada The Malaysian Insider. ‎

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR berkata, kesakitan yang dialaminya bersama keluarga tidak mampu diubati apabila teringatkan pesanan ayahnya untuk tidak mengaku kalah dan meneruskan usaha reformasi negara.

“Pesanan utamanya adalah supaya kami bersedia dengan sebarang kemungkinan. Pesanan jua buat kami meneruskan perjuangan, jangan pasrah tetapi terus dengan usaha menuntut reformasi di Malaysia.

“Sudah 16 tahun berlalu, maka anak-anak sudah patut lebih arif dengan perjuangan menuntut keadilan,” katanya.

Bagi Nurul Izzah, walaupun kesedihan pernah melanda keluarganya, namun detik terindah untuk bersama buat kali terakhir tidak akan dilepaskan.

“Sebenarnya, masa kami bersama ayah penuh dengan bibit-bibit gembira dan mesra. Kelucuan, karisma, ketabahan, sindiran manja ayah, sebenarnya menjadi sumber keceriaan bukan sahaja buat mama, anak-anak tetapi jua cucu-cucu yang bertandang di Bukit Segambut," katanya, merujuk rumah keluarga di Kuala Lumpur.

“Justeru, pahit dan luka buat kali kedua ini menerusi fitnah lemparan tidak terubat; hanya kami mampu menyandarkan harapan kepada jati diri kebenaran dan peninggalan nilai keadilan oleh ayah." ‎

Nurul Izzah berkata walaupun berdepan dengan hukuman penjara, beliau yakin ayahnya akan dibebaskan hari ini berdasarkan hujah pihak pembelaan.

“Sebenarnya harapan kami agak menggunung memandangkan dari segi undang-undang, khususnya penghujahan peguambela Ramkarpal Singh, Gobind Singh Deo, Sangeet dan tentunya Datuk Gopal Sri Ram.

“Tentu pembebasan ayah itu pasti,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar dari dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Balia Yusof Wahi menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar dan membenarkan ikat jamin sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Desa Damansara, Bukit Damansara, antara jam 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

No comments:

Post a Comment

Komen pembaca amat dialu-alukan. Lambat atau cepat, ianya akan disiarkan.

Tetapi, komen yg mengandungi iklan pil kuat batang, pil pacak, pil kemut, sendat, sempit, meraung, merengek, mengaum; jangan harap ianya akan disiarkan.