Friday, November 22, 2013

Janganlah panggil saya BANGSAT!

Madu tualang power! Click here

Sumber: Malaysia Chronicle


LEPAS tamat sekolah, saya jadi juru jual di Perak. Mula sampai di Kuala Kangsar, saya terasa diperlekehkan. Ini berlaku apabila seorang pakcik berkali-kali kata "awak tak tahu..." kepada saya. Saya menyangka dia merendahkan saya. Rupa-rupanya 'awak' adalah ganti 'saya' bagi orang Perak.

Demikian juga di Parit apabila saya akhirnya terpaksa menjawab "kenai makcik, takkan tak kenai, kipas" setelah seorang makcik tanya sama ada saya 'kenai' kipas angin yang dihalakan kepada saya.

Setelah diberitahu suaminya yang tertawa besar mendengar kata-kata saya, barulah saya sedar rupanya makcik itu bertanya sama ada saya kena atau tidak angin kipas itu. Kena atau 'keney' dalam sebutan orang Parit yang bunyinya seakan 'kenai' mengikut dialek Kedah, mencetuskan salah faham saya. Itu belum lagi cerita orang Kuala Kangsar masuk kedai lampu dan bertanya "lampu ade idak, ade idak, ade?" Mujur semasa jadi jurujual di Kuala Kangsar, saya tidak ditugaskan menjual lampu. Jika tidak, bergolek berguling pun pasti saya tidak faham pertanyaan itu. Rupa-rupanya pelanggan itu mahu beli lampu lip lap.

Tidak lama dulu, saya bawa seorang kawan dari Kuala Pilah berjumpa seorang ustaz. Kebetulan si ustaz kawan rapat kepada abang saudara saya yang dipanggil Tat. Kata ustaz itu "Tat dulu dok mampuih kut rumah kami la..." Terkebil-kebil kawan saya mendengar kata-katanya.

Keluar dari pejabat ustaz itu, dia langsung bertanya mengenai 'mampuih'. Saya jelaskan, 'mampuih' dalam konteks cerita ustaz itu mengenai hubungan dia dengan abang saudara saya yang sangat mesra. Ini digambarkan melalui kata-katanya 'mampuih' yang bermaksud Tat selalu tidur atau bermalam di rumahnya. Kata kawan saya, dia sangka Tat selalu kena belasah sampai setengah mati oleh ustaz itu!

Ya, memang banyak istilah sama tetapi berlainan maksud mengikut dialek antara negeri kita. Beberapa tahun lepas, saya sendiri terkebil-kebil menonton satu adegan dalam filem Hantu Kak Limah yang berpunca masalah dialek. Apabila dengar Pak Abu menyebut hantu kopek seiring dengan kemunculan suatu objek yang bertali arus daripada seorang wanita, saya tertanya-tanya "penumbuk apa yang banyak sangat ni?"

Rupa-rupanya apa yang saya sangka penumbuk itu buah dada, dan itulah 'kopek' bagi orang Pantai Timur. Kopek di tempat saya bermaksud dompet.

Selain kopek, 'teriak' juga bawa makna yang berbeza mengikut negeri. Sebagai contoh, seseorang bercerita kepada rakannya: "Kami tiap-tiap pagi raya, masa bersalam dengan mak abah kami, kami mesti teriak ..."

Tentulah kawan dari Johor itu naik hairan. Mana tidaknya, teriak dalam bahasa Johor maksudnya menjerit sedangkan bagi orang Kedah, menangis. Apa pasal pula kena menjerit, minta maaf dengan suara perlahan, penuh keinsafan tak bolehkah?

Satu hal lagi, apabila sampai di tempat orang, jangan memandai-mandai buat kesimpulan sendiri mengenai istilah atau dialek di tempat itu. Contohnya, memang banyak istilah dalam dialek utara yang belakangnya huruf 'r' diganti dengan 'q'. Atau jangan pula asal kelapa sembarangan ditukar kepada 'nyoq'. Di utara, kelapa sawit tetap dipanggil kelapa sawit, jangan pula orang negeri lain pergi sana sebut 'nyoq sawit'.

Adapun satu kisah ini boleh dijadikan contoh. Dalam satu majlis kenduri di Kedah, seorang tetamu yang sudah sekian lama teringin nak makan acar limau orang utara, sampai sahaja terus bertanya kepada tuan rumah, 'ayaq acaq ada?"

'Acaq' mengikut dialek utara bukan acar tetapi kumbahan atau air basuhan yang kotor. Acar sebaliknya disebut 'acat'. Begitu juga orang utara yang baru berhijrah ke KL, jangan segera nak jadi orang KL, ajak kawan pergi main 'bole kat Kote Damansare'. Anak KL jati pun sebut 'bola' dan 'Kota Damansara'!

Satu lagi untuk kita jadikan iktibar apa yang berlaku di sebuah surau di Kedah. Setelah beberapa minit masuk waktu, pak bilal atau muazzin tidak juga muncul, yang ada hanya imam dengan seorang musafir, maka si imam pun minta tolong kepada si musafir untuk azan dengan kata-kata "minta tolong bang sat..."

Merah padam muka si musafir, "saya tahu saya orang luar tapi janganlah panggil saya bangsat!"

3 comments:

  1. Ha..ha..best N3 ni. Byk lg dialek kalau nak sebut.

    ReplyDelete
  2. kah...kah....kah.....

    ReplyDelete

Komen pembaca amat dialu-alukan. Lambat atau cepat, ianya akan disiarkan.

Tetapi, komen yg mengandungi iklan pil kuat batang, pil pacak, pil kemut, sendat, sempit, meraung, merengek, mengaum; jangan harap ianya akan disiarkan.