Friday, April 15, 2011

PUAKA Yang Lupa Asal Usul


Inilah Kg Sebako, Pulau Bruit, Sarawak. Nampak cantik dari udara, hijau sejauh mata memandang. Aku pernah menumpang disini buat beberapa ketika dan berpeluang berkongsi payah jerih hidup di pulau yang terpinggir dari dunia luar.

Majoriti penduduk di kampung ini adalah dari suku Melanau yang beragama Islam. Sesuku dengan PUAKA. Sudah tentu umum akan mengatakan alangkah bertuahnya suku Melanau memandangkan PUAKA ini adalah dari kaum kerabat mereka juga. Lunch-chow! Sikit haram pun PUAKA ini tak pedulikan sukunya di kampung ini.

PUAKA ini hanya pedulikan tanah di pulau ini yang luas terbentang untuk dijadikan ladang kelapa sawit. PUAKA ini tak peduli sisa ladang kelapa sawitnya mencemar sungai dikampung ini, sedangkan sungai itulah satu-satunya sumber air dikala kemarau. Dan dari sungai itu jugalah pelbagai jenis ikan dan udang boleh ditangkap buat makan tengahari.

PUAKA ini tidak peduli suku-sakatnya telah berpuluh-puluh tahun tidak pernah merasa air paip. Berpuluh-puluh tahun suku-sakatnya ini mandi, memasak, membasuh dan basuh berak dengan air hujan. Di sekeliling kampung setiap buah rumah pasti terdapat tong biru besar untuk menadah air hujan. Dimusim kemarau beramai-ramai menceduk air sungai yang tercemar untuk kegunaan harian, tiada pilihan.

PUAKA ini juga terus membiarkan suku-sakatnya bergelap tanpa api elektrik. Tak payah elektrik, penduduk kampung perlu tidur awal buat anak. Budak-budak sekolah tak payah menelaah diwaktu malam, tidur awal. Tak perlu belajar pandai-pandai, sebab nanti bila pandai akan cuba melawan PUAKA. Sehingga kini Kg Sebako masih bergelap tanpa bekalan api elektrik. Berak lah dalam gelap, lumat ponggong digigit nyamuk 'rengit'. Gatal bisa gigitannya, ya Tuhan.... sampai ketulang!

PUAKA ini tidak peduli suku-sakatnya ini terputus langsung dengan dunia luar bila musim tengkujuh tiba. Ombak tinggi ganas menggila. Bekalan terputus. Telur, ikan masin dan salai lumek jadi sajian utama. PUAKA apa peduli, dia dah ada apam Lebanon! Jangan jatuh sakit di musim tengkujuh, jangan mati dan jangan beranak. Kalau terasa mahu beranak juga, pujuklah bayi supaya masuk ke dalam rahim kembali. Hospital terdekat nun di Sarikei, 3 jam perjalanan dengan bot. Tapi diwaktu ombak mengganas, tiada juragan gila yang mahu turun membelah lautan.

PUAKA ini memang lupa asal usul. Yang dipedulikan sangat buat masa ini hanyalah apam yang baru dikutip dari Lebanon.

Telah sampai masanya suku Melanau di Sarawak menghumban PUAKA yang lupa asal usul ini kedalam tong sampah sejarah. Tidak ada untungnya menyokong pemimpin bertelinga satu, bermulut dua dan lidah bercabang tiga.

Humbankan dia bersama-sama apam Lebanonnya, biar tercekik lemas dan mampos!

liq